Mengikut sejarah awal penubuhannya, SK Limau Kasturi 1 yang pada mulanya dikenali sebagai Sekolah Melayu Limau Kasturi ditubuhkan sekitar tahun 1930-an hasil usaha seorang penghulu bernama Yaacob Mat Salleh.

Pembinaan sekolah itu dibuat melalui kerja gotong-royong dan turut mendapat bantuan pihak istana yang telah menghantar seorang guru sebagai tenaga pengajar. Sekolah ini kemudiannya telah mendapat bantuan sepenuhnya daripada pihak kerajaan.

 

Sekolah ini adalah antara beberapa buah sekolah rendah di negara ini yang mempunyai kemudahan asrama bagi menempatkan murid seawal tahun satu hingga enam. Dua blok asrama telah diwujudkan pada tahun 1994 bagi menempatkan murid luar bandar yang terpaksa berulang-alik ke sekolah sejauh puluhan kilometer dengan kereta api sebagai pengangkutan utama. Penempatan murid di asrama diawasi oleh dua orang warden sepenuh masa yang tinggal di dalam kawasan sekolah.

Nama Sekolah Limau Kasturi 1 sebenarnya mula mendapat perhatian umum apabila ia dipilih sebagai lokasi drama Cikgu Limau Kasturi sekitar tahun 1991. Bermula dari situ, SK Limau Kasturi 1 terus mengorak langkah menongkah arus pembangunan apabila pelbagai kemudahan dan prasarana pendidikan dibina oleh kerajaan seperti asrama, kantin, makmal sains dan bilik kemahiran hidup. Sekolah ini juga dikatakan antara sekolah tertua di jajahan Gua Musang dan kini seramai 279 murid dan 31 orang guru telah ditempatkan di Sekolah Limau Kasturi 1.